PETALING JAYA: Malaysia bakal mencatat satu lagi detik bersejarah apabila acara ‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports’ yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada Rabu ini membawa mesej perpaduan, kesihatan dan penghargaan terhadap warisan sukan negara.
Inisiatif diraja berteraskan gaya hidup sihat itu akan dipimpin oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sinonim dengan keprihatinan baginda terhadap pembangunan sukan tanah air.
Acara yang dianjurkan oleh ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) ini bertujuan menyatukan rakyat Malaysia menerusi aktiviti berjalan kaki simbolik yang mencerminkan nilai kesihatan, komuniti dan semangat kebangsaan.
Lebih 150 tetamu jemputan terdiri daripada legenda dan bekas atlet kebangsaan dijangka hadir bagi meraikan semangat kesukanan dan perpaduan rakyat.
Buat julung kali, Stadium Merdeka yang menjadi tempat laungan kemerdekaan pada 1957, akan menjadi saksi perhimpunan besar-besaran bekas atlet pelbagai cabang sukan di bawah satu bumbung.
Antara yang dijangka menyerikan acara ini termasuk Datuk Leong Mun Yee, ratu terjun negara yang lima kali beraksi di Olimpik; bekas kapten skuad hoki lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin; pelari pecut wanita legenda, Shanti Govindasamy; serta bekas kapten ragbi kebangsaan, Jagjit Singh.
Turut hadir dua ikon bola sepak negara, Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann, serta legenda badminton, Datuk Rashid Sidek, yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Atlanta 1996.
Acara ini turut mendapat sokongan padu daripada jenama-jenama ternama seperti Bata, yang meraikan 95 tahun kehadirannya di Malaysia, di samping FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika dan Prince Court Medical Centre.
Penglibatan mereka mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh warisan dan mempererat perpaduan rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Datuk Christopher Raj berkata, acara ini bukan sekadar satu program sukan, sebaliknya satu simbol penyatuan rakyat Malaysia.
“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports bukan sekadar acara, tetapi satu inisiatif yang meraikan perpaduan, kesihatan dan warisan melalui aktiviti yang paling sederhana,” katanya.
Keberangkatan Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah ke acara tersebut melambangkan pengiktirafan tertinggi terhadap peranan sukan sebagai tonggak identiti dan kebanggaan negara.-UTUSAN










