Sze Fei–Izzuddin cemas sebelum mara, Ling Ching cipta kejutan

Kumamoto Masters: Sze Fei–Izzuddin cemas sebelum mara, Ling Ching cipta kejutan

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani berdepan detik cemas sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, hari ini.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu terpaksa bermandi peluh sebelum menewaskan beregu tuan rumah, Keiichiro Matsui–Katsuki Tamate 21-23, 21-13, 26-24 dalam tempoh 65 minit.

DinFei bermula goyah di set pertama namun bangkit garang di set kedua sebelum menutup kemenangan penuh dramatik menerusi deuce di set penentuan.

Kemenangan itu mengekalkan peluang mereka memburu tiket ke Jelajah Dunia Akhir 2025 di Hangzhou, China bulan depan.

Turut mara ke suku akhir ialah dua beregu kebangsaan, Arif Junaidi–Yap Roy King dan Choong Hon Jian–Haikal Nazri.

Bagaimanapun, satu lagi pasangan profesional, Ong Yew Sin–Teo Ee Yi terkandas selepas tewas kepada gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita 17-21, 21-10, 14-21.

Turut tersingkir, Nur Mohd Azriyn Ayub–Tan Wee Kiong turut tersingkir selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Kakeru Kumagai–Hiroki Nishi 13-21, 11-21.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila menumbangkan pilihan kelima dari Kanada, Michelle Li 21-17, 16-21, 21-19.

Pemain ranking ke-63 dunia itu bangkit daripada ketinggalan 11-16 di set penentuan sebelum menamatkan perlawanan penuh bersemangat untuk mara ke suku akhir.

Ling Ching dijadual berdepan bekas juara dunia dari Thailand, Ratchanok Intanon, dalam misi meneruskan kebangkitan pemain muda negara di pentas antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN