PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun menerima tamparan hebat apabila tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Kumamoto Masters di Jepun, hari ini.
Pilihan ketiga itu tunduk kepada pasangan tuan rumah, Hiroki Midorikawa–Kyohei Yamashita, yang berada di ranking ke-30 dunia, dengan keputusan straight set 19-21, 18-21 dalam masa 35 minit.
Kekalahan tersebut menamatkan rekod konsisten pasangan No.5 dunia itu yang tidak pernah tewas pada pusingan pertama sejak All England, Mac lalu.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian–Muhammad Haikal Nazri memastikan kem negara tidak sunyi apabila mara ke pusingan kedua.
Pasangan No.33 dunia itu menewaskan gandingan tuan rumah, Kazuki Shibata–Naoki Yamada 21-19, 21-16 dalam masa 43 minit di Gimnasium Wilayah Kumamoto.
Kemenangan itu membolehkan mereka mara untuk berdepan pemenang antara dua pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng–Zhi Wei He atau Huang Jui Hsuan–Lin Yu Chieh, pada Rabu.
Turut mencatat kemenangan, beregu lelaki negara, Arif Junaidi–Yap Roy King yang menundukkan gandingan Taiwan, Chang Ko Chi–Po Li Wei 21-19, 21-12 dalam masa 31 minit.
Gandingan yang kini menghuni ranking ke-19 dunia itu dijadualkan bertemu pasangan tuan rumah, Takumi Nomura–Yuichi Shimogami pada aksi pusingan kedua, lusa.
Dalam acara beregu wanita, pasangan muda negara, Ong Yin Yee–Carmen Ting mencipta kejutan besar apabila menyingkirkan pilihan kelima dari Taiwan, Hsieh Pei Shan–Hung En Tzu 22-20, 18-21, 21-10 dalam pertarungan sengit hampir sejam.
Gandingan berusia 20 tahun itu bakal menentang pasangan Jepun, Rui Hirokami–Sayaka Hobara pada Rabu untuk merebut tiket ke suku akhir. – UTUSAN










