KUALA LUMPUR: Ibu negara Malaysia kini diiktiraf sebagai bandar pintar, progresif dan berdaya huni di peringkat antarabangsa.
Ia menerusi penganugerahan Anugerah Kepimpinan 2025 kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif sempena Smart City Expo World Congress (SCEWC) 2025 di Barcelona, Sepanyol.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, penganugerahan tersebut merupakan lambang usaha berterusan Kuala Lumpur dalam merealisasikan visi bandar pintar di peringkat global.
Katanya, pengiktirafan itu bukan sahaja mengangkat nama Datuk Bandar malah turut menzahirkan kejayaan kolektif DBKL dalam menjadikan ibu negara sebagai bandar yang lebih efisien, inklusif dan berdaya saing di peringkat dunia.
“Melalui kepimpinan yang berwawasan, pelbagai inisiatif bandar pintar telah memperkukuh sistem pengurusan bandar, mempertingkatkan kualiti hidup warga kota serta memperluas peluang pembangunan lestari dan inovasi digital.
“Kejayaan ini menjadi simbol kemajuan Kuala Lumpur dalam mengimbangi kemodenan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus memberi inspirasi untuk meneruskan agenda pembangunan yang lebih hijau, pintar, dan berdaya huni demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya.-UTUSAN










