JOHOR BAHRU: Seramai tujuh individu daripada 21 suspek yang ditahan berhubung kes bunuh di Kulai pada 25 Ogos lalu akan dihadapkan ke mahkamah esok atas pelbagai pertuduhan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, arahan pertuduhan itu diperoleh selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor semalam.
Beliau memberitahu, daripada jumlah tersebut, seorang suspek akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh di Mahkamah Majistret Kulai.
“Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah empat suspek yang akan dituduh di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
“Manakala pertuduhan terhadap dua lagi suspek di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, baki 14 suspek lagi dibebaskan dengan bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah untuk dijadikan sebagai saksi pendakwaan.-UTUSAN









