LISBON: Bekas ketua Formula Satu (F1), Bernie Ecclestone dilaporkan telah ditahan di Portugal pada Isnin kerana didakwa membawa senapang patah di sebuah lapangan terbang, menurut laporan portal berita Portugal, Correio da Manha.
Ecclestone ditahan ketika pemeriksaan rutin sebaik sahaja jet peribadinya mendarat di Aerodrom Tires di Cascais, iaitu sebuah lapangan terbang di luar kawasan Lisbon.
“Penahanan beliau dilakukan oleh pegawai daripada Bahagian Lapangan Terbang PSP (Polis Keselamatan Awam Portugal),” menurut laporan portal tersebut.
Ecclestone mengaku kepada Daily Mail bahawa beliau mendarat tanpa membawa dokumen sah bagi pemilikan senjata api berkenaan dan telah ditahan selama beberapa jam di lapangan terbang tersebut.
“Saya membawa senapang dari Switzerland ke Portugal untuk aktiviti menembak sasaran. Hanya itu sahaja. Saya mempunyai beberapa senjata api berlesen di rumah saya di sana.
“Kami telah melepasi pemeriksaan kastam sebaik sahaja tiba di sini, saya mengenali pegawai di sana dan tiada sebarang masalah berbangkit. Semuanya berjalan lancar.
“Namun, seorang pegawai polis kemudiannya meminta untuk memeriksa beg saya.
“Dari luaran, ia kelihatan seperti peralatan memancing milik Ace (anak lelakinya yang berusia enam tahun), tetapi ternyata bukan.
“Mereka bertanya sama ada saya mempunyai buku biru, iaitu dokumen yang diperkukan bagi membawa senjata dan saya memberitahu mereka bahawa saya tidak pernah mengembara dengan dokumen seumpama itu atau praktikalnya sebarang dokumen lain.
“Mereka memaklumkan mahu menahan saya dan selepas penantian yang terasa seperti berjam-jam, kami akhirnya menyelesaikan isu berkenaan, namun ia merupakan satu situasi yang amat merumitkan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, seorang jurucakap pasukan polis PSP yang dilaporkan oleh media Portugal sebagai pihak yang membuat penahanan berkenaan memberitahu Daily Mail, pegawai kawalan sempadan tidak membuat sebarang penahanan seperti yang didakwa.
Insiden berkenaan bukanlah kali pertama Ecclestone berdepan masalah berhubung isu membawa senjata api semasa mengembara. – AGENSI










