KIMANIS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merancang mewujudkan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas khusus untuk kanak-kanak autisme di Kota Kinabalu dan Sandakan bermula tahun depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tahun 2026, pihaknya juga akan meneliti keperluan membina sebuah lagi tabika konsep sama di Tawau.
“Untuk Sabah, kita akan beri keistimewaan untuk mewujudkan dua tabika dahulu, satu di Kota Kinabalu dan satu lagi di Sandakan.
“Kita akan lihat jika Tawau memerlukan satu lagi, maka kita akan buat tiga tabika untuk tahun hadapan. Bagi tahun 2027, satu tabika autisme akan diwujudkan bagi setiap daerah.
“Oleh kerana daerah di Sabah dan Sarawak terlalu luas, kita akan memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan melalui Belanjawan 2027 untuk memperbanyakkan tabika autisme di dua negeri itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan di Dewan Terbuka Pekan Bongawan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, KKDW bakal memperluaskan konsep tabika khusus untuk kanak-kanak autisme bermula tahun depan.
Media sebelum ini melaporkan, KKDW bakal memperluaskan konsep tabika khusus untuk kanak-kanak autisme bermula tahun depan.
Ahmad Zahid berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk membangunkan modul kurikulum khas.
Di Melaka, sebanyak tiga tabika KEMAS khas untuk kanak-kanak autisme telah dibina di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah. – UTUSAN










