TUARAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keseluruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan diumumkan kira-kira 12 tengah malam.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pengumuman tepat hanya boleh dibuat selepas seluruh proses pengiraan selesai, memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu mungkin memberi kesan terhadap kelancaran operasi di beberapa kawasan.
“Kita menjangkakan dalam sekitar pukul 10 malam, mungkin ada keputusan awal boleh keluar tetapi kita tak dapat menjangkakan tempoh yang sesuai dalam keadaan cuaca begini .
“Kita akan cuba boleh selesaikan keputusan keseluruhan pada tengah malam Dalam sekitar pukul 12 Malam,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi semakan isi peti undi Dewan Seri Sulaman, Tuaran, hari ini.
Ramlan berkata, SPR mempunyai prosedur operasi standard (SOP) bagi menghadapi situasi kecemasan, namun tindakan di lapangan akan dibuat berdasarkan laporan semasa yang diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah (JPBD) melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
“SPR akan bertindak mengikut keadaan semasa di tapak. Buat masa ini, kita sentiasa berwaspada dengan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata, semalam SPR turut mengadakan mesyuarat persediaan bersama MetMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana yang boleh menjejaskan kelancaran proses pengundian.
Beliau berkata, walaupun berlaku banjir kilat atau gangguan cuaca, proses pilihan raya tetap diteruskan seperti biasa, dengan penggerakan aset-aset operasi melalui agensi kerajaan berkaitan.
“Jika ada kawasan terputus hubungan, JPBD akan mengerahkan aset seperti bot, perahu dan kemudahan lain untuk membantu pergerakan penduduk,” jelasnya.
Mengulas lanjut, sebagai persediaan tambahan, SPR turut menyediakan perkhidmatan helikopter bagi mengangkut kertas undi dan dokumen daripada pusat-pusat mengundi yang terletak di pulau serta kawasan pedalaman yang sukar diakses.
“Bagi kawasan lain, akses akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), bot dan aset-aset lain bergantung kepada keadaan geografi.
“Angka terperinci bagi penggunaan bot dan 4WD tidak tersedia, tetapi bagi penggunaan helikopter, jumlahnya adalah 85 kawasan,” katanya.
Beliau turut menyeru pengundi agar keluar awal menunaikan tanggungjawab mereka, kerana cuaca dijangka hujan, dengan keadaan lebih serius pada waktu petang, menurut laporan MetMalaysia.
“Kami menggalakkan semua pengundi keluar lebih awal. Sediakan pakaian hujan, payung dan kelengkapan lain. Yang paling penting, jaga keselamatan diri,” katanya.-UTUSAN