KOTA KINABALU: Status pelajar Tingkatan Enam perlu setaraf dengan Matrikulasi dan Asasi universiti kerana mereka tidak sudah lagi dianggap sebahagian daripada sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, justeru itu sebarang kemudahan yang dinikmati pelajar Matrikulasi dan Asasi universiti perlu sama dengan Tingkatan Enam.
“Dulu Tingkatan Enam sebahagian daripada sekolah namun matrikulasi lain.Tapi ada elaun untuk Matrikulasi dan Asasi.
“Sekarang Tingkatan Enam tidak dianggap sebagai sekolah, ada kolej khas untuk Tingkatan Enam, oleh itu status mesti sama dengan Matrikulasi. Apa sahaja yang ada pada pelajar Matrikulasi, harus sama dengan Pelajar Tingkatan Enam,” katanya dalam Program Townhall PMX Bersama Anak Muda Inanam di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar Tingkatan Enam mencadangkan supaya mereka menikmati kemudahan seperti mana dinikmati di peringkat Matrikulasi dan Asasi universiti.
Dalam pada itu, Anwar mengakui keperluan untuk memperkukuh kemudahan pendidikan Tingkatan Enam termasuk sebuah kolej khas namun menegaskan kerajaan tidak boleh mengeluarkan sebarang janji politik sewaktu musim pilihan raya.
“Baik. Sekarang musim pilihan raya, jadi saya tak boleh berjanji. Itu salah dari segi peraturan. Tetapi saya sudah sebut tadi dasar kita apa? Kita akan wujudkan Kolej Tingkatan Enam baru di Sabah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kolej berkenaan bukan sahaja menempatkan sistem pembelajaran moden dan lebih tersusun, malah akan dilengkapi kemudahan asrama bagi meringankan beban pengangkutan dan kos sara hidup pelajar.
Beliau menjawab soalan seorang pelajar yang berdepan kesukaran pelajar Tingkatan Enam untuk hadir ke kelas kerana perlu menanggung kos pengangkutan harian. – UTUSAN










