PETALING JAYA: Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk melangkah ke pentas akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman tidak kesampaian selepas Kai Wun beraksi dalam keadaan bergelut dengan kecederaan kaki.
Pasangan No. 5 dunia itu terpaksa akur tewas 16-21, 15-21 kepada gandingan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam saingan separuh akhir yang hanya berlangsung selama 34 minit, semalam.
Kai Wun mengakui kecederaan yang dialaminya sejak beberapa minggu lalu menjejaskan keupayaannya untuk menyaingi rentak pantas lawan, sekali gus menutup peluang ke final.
“Saya dah cuba beri yang terbaik walaupun tak berada pada tahap sepenuhnya.
“Saya tak sangka dapat bertahan sejauh ini dan amat bersyukur atas sokongan semua yang terus beri semangat kepada kami,” kata Kai Wun menerusi hantaran di Instagram Story.
Kecederaan otot betis yang belum pulih sepenuhnya menyebabkan Kai Wun kerap melakukan kesilapan mudah sepanjang perlawanan, sekali gus memberi kelebihan kepada lawan yang kini mendahului 3-1 dalam rekod pertemuan mereka.
Dalam pada itu, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengesahkan kecederaan itu menjadi faktor utama menjejaskan prestasi pasangan berkenaan di separuh akhir.
“Kondisi mereka memang tak sepenuhnya baik, dan itu jelas mempengaruhi corak permainan mereka,” kata Herry.
Bagaimanapun, Herry menjelaskan bahawa Wei Chong-Kai Wun tetap akan meneruskan jadual ke Kumamoto Masters di Jepun dari 11 hingga 16 November ini sebagai sebahagian usaha mengumpul mata kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, bulan depan. – UTUSAN










