PETALING JAYA: Penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (Muslim-Friendly Watch-MFW) bukan perakuan atau penandaan halal diiktiraf pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, penggunaan istilah tersebut boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Katanya, di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya Jakim serta Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberikan kebenaran penggunaan Logo Halal Malaysia.
“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang dikeluarkan oleh pihak selain Jakim atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah.
“Ia menyalahi peraturan, menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan berpotensi mengelirukan pengguna Muslim,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sehubungan itu, Sirajuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah atau kenyataan yang boleh memberi persepsi halal tanpa pengesahan rasmi daripada Jakim atau MAIN/JAIN.
Beliau berkata, Jakim telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan menjelaskan bahawa pengiktirafan Muslim Choice yang dijalankan pertubuhan itu boleh mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
“Jakim turut meminta organisasi berkenaan menghentikan aktiviti tersebut.
“Namun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, MFW dikesan masih meneruskan aktiviti pengiktirafan itu,” katanya. – UTUSAN










