Hannah, SAM kecam serangan ke atas Haresh, tuntut siasatan teliti

Hannah, SAM kecam serangan ke atas Haresh, tuntut siasatan teliti

HARESH Deol ketika membuat laporan polis selepas diserang dua individu tidak dikenali, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh menegaskan bahawa keselamatan media perlu diutamakan dan beliau beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya.

Hannah berkata demikian bagi mengulas kes melibatkan serangan ke atas wartawan sukan, Haresh Deol, yang didakwa diserang dua lelaki tidak dikenali dalam satu insiden di ibu negara, petang tadi.

“Keselamatan pengamal media mesti dihormati. Saya yakin polis akan menyiasat dengan teliti dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) mengecam serangan ke atas Haresh Deol dan berharap tindakan segera diambil ke atas pelaku.

Presiden SAM, Ismadi Abdul Manap berkata, pihaknya memandang serius insiden yang berlaku dan menuntut siasatan dilakukan dengan segera.

“Serangan ke atas mana-mana wartawan adalah tindakan ekstrem yang tidak boleh dibiarkan. SAM tidak mahu ahli kami bekerja dalam ketakutan atau trauma,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, seorang individu dipercayai merakam tindakan dilakukan ke atas Haresh sebelum semua suspek melarikan diri.

Haresh yang juga ahli SAM serta pengasas portal TwentyTwo13 mengalami kecederaan ringan dan difahamkan sudah membuat laporan polis di balai berhampiran.

Menurut Ismadi, motif serangan terhadap Haresh masih belum diketahui, namun beliau menegaskan pihak berkuasa perlu meneliti dalam semua sudut.

Difahamkan, sebelum kejadian Haresh sempat berbincang bersama beberapa rakan sebelum berjalan seorang diri menuju ke keretanya.

SAM menegaskan keselamatan wartawan perlu menjadi keutamaan dan insiden seumpama itu tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengganggu kebebasan media.

“Ini bukan lagi soal individu, tetapi soal keselamatan dan hak untuk menjalankan tugas sebagai wartawan sukan,” tegasnya.

SAM turut menyatakan sokongan penuh kepada Haresh dan berharap polis dapat menyiasat serta menahan suspek dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN