Hampir semua peniaga di Negeri Sembilan guna plastik biodegradasi

Hampir semua peniaga di Negeri Sembilan guna plastik biodegradasi

ARUL Kumar (kiri) pada program Kempen Beg Beli-Belah Guna Semula dan Kongsi Sama di Pasar Besar Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hampir 100 peratus peniaga di negeri ini sudah menggunakan plastik biodegradasi (biodegradable) sekali gus menunjukkan kejayaan pelaksanaan larangan penggunaan plastik sekali guna.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri, J. Arul Kumar berkata, perubahan itu merupakan hasil kempen berterusan kerajaan negeri bagi menggalakkan masyarakat dan peniaga beralih kepada alternatif yang lebih mesra alam.

“Kalau tidak boleh gunakan plastik, beg biodegradable adalah alternatifnya. Hampir keseluruhan peniaga di Pasar Besar Seremban ini juga telah menggunakan beg biodegradasi dan keadaan sama turut dapat dilihat di kebanyakkan premis perniagaan di seluruh negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Beg Beli-Belah Guna Semula dan Kongsi Sama di Pasar Besar Seremban di sini hari ini.

Arul Kumar berkata, kerajaan negeri juga telah memasukkan larangan penggunaan plastik sekali guna sebagai salah satu syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kalau ada peniaga yang masih enggan mematuhi syarat itu, lesen perniagaan mereka boleh dibatalkan. Langkah ini bukan untuk menghukum tetapi untuk memastikan kelestarian alam sekitar serta kesihatan manusia terjamin,” katanya.

Tambahnya, kempen larangan penggunaan plastik sekali guna di Negeri Sembilan telah mula dilaksanakan sejak tahun 2022 dengan tempoh tiga tahun diberikan kepada peniaga untuk membuat peralihan kepada bahan alternatif.

“Kini tiba masa untuk kita laksanakan penguatkuasaan sepenuhnya supaya semua pihak patuh kepada arahan kerajaan negeri,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memuji masyarakat yang kini semakin menjadikan penggunaan beg kitar semula sebagai kebiasaan dalam kehidupan seharian.

“Kita turut menyediakan 100 beg kitar semula di Pasar Besar Seremban. Orang ramai boleh guna sekiranya terlupa membawa beg sendiri tetapi perlu dipulangkan semula selepas digunakan. Jika ada lebihan di rumah, mereka boleh menyumbangkan ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN