JAKARTA: Suami kepada penyanyi terkenal Indonesia, Raisa, iaitu Hamish Daud, menafikan dakwaan kononnya wujud orang ketiga yang menjadi punca keretakan rumah tangga mereka.
Menurut Hamish, beliau menyedari kewujudan spekulasi yang mengaitkannya dengan seorang cef bernama Sabrina Alatas, selepas tular fail laman Pinterest bertajuk Future House atau Rumah Masa Depan yang dikatakan dikongsi bersama wanita berkenaan.
“Dia (Sabrina) merupakan sahabat saya sejak 10 tahun lalu. Hubungan saya dengan keluarganya juga sangat baik.
“Raisa juga mengenalinya kerana kami bersahabat secara bersama,” katanya kepada media tempatan, semalam.
Sehubungan itu, Hamish meminta orang ramai agar menghentikan sebarang kritikan dan serangan terhadap Sabrina serta keluarganya yang turut terpalit dalam isu berkenaan.
“Kasihan mereka kerana turut terkena tempias sedangkan kami hanya berkawan.
“Saya ingin memohon maaf kepada rakan-rakan saya serta keluarga Sabrina. Tidak ada sebarang niat untuk menimbulkan salah faham.
“Saya juga baru sahaja memohon maaf secara peribadi kepada keluarganya,” jelasnya.
Terdahulu, industri hiburan Indonesia digemparkan dengan berita apabila penyanyi popular itu dilaporkan memfailkan perceraian terhadap suaminya pada 22 Oktober lalu.
Bagaimanapun, melalui satu hantaran di media sosial yang turut dikongsikan kedua-duanya, Raisa dan Hamish menjelaskan bahawa mereka telah sepakat untuk mengekalkan hubungan baik demi membesarkan anak tunggal mereka, Zalina Raine Wyllie. – UTUSAN










