KUALA LUMPUR: Guru masih tertaktuk kepada Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) dan tidak boleh membina soalan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) secara sesuka hati walaupun diberi autonomi penuh sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata, JSU digunakan sebagai panduan rasmi kepada semua guru bagi memastikan keseragaman dan ketelusan dalam pelaksanaan pentaksiran di seluruh negara.
Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan latihan serta garis panduan terperinci untuk membantu guru membangunkan soalan UASA selaras dengan kehendak kurikulum.
“Guru tidak boleh sesuka hati membina soalan. Kita ada JSU yang wajib diguna pakai dan sejak dua tahun autonomi diberikan, pelaksanaannya berjalan dengan baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman (GPS–Betong) yang meminta penjelasan langkah diambil KPM bagi memastikan keseragaman pentaksiran antara sekolah bandar dan luar bandar.
Kah Woh berkata, seramai 259,656 guru telah dilatih dalam aspek penyediaan soalan dan pelaksanaan UASA bagi memastikan kualiti pentaksiran dan profesionalisme guru sentiasa ditingkatkan.
Katanya, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan keputusan UASA kini boleh disemak oleh ibu bapa melalui sistem pentaksiran pengurusan bersepadu, bagi meningkatkan ketelusan dan akses kepada prestasi murid.-UTUSAN









