KUALA LUMPUR: Jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji, mencipta detik manis apabila melangkah ke final acara perseorangan wanita Kejohanan Boling Padang Piala Dunia 2025, selepas menewaskan wakil Australia, Dawn Hayman, dalam aksi penuh dramatik di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.
Biarpun bermula perlahan dan tewas pada set pertama, pemain berpengalaman berusia 39 tahun itu bangkit dengan semangat juang tinggi untuk memenangi set kedua, sekali gus mengheret perlawanan ke pusingan penentuan.
Emma kemudian mempamerkan ketenangan luar biasa di saat genting untuk menamatkan cabaran lawan dengan keputusan 2-1, sekali gus memastikan tempat ke pentas final dan mengekalkan harapan negara memburu kejuaraan dunia.
“Prestasi saya sebenarnya agak turun naik kerana masih mencari momentum terbaik untuk kejohanan ini.
“Namun Alhamdulillah, segala perancangan hari ini menjadi dan saya berjaya ke final,” katanya gembira selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Nurul Alyani Jamil, terpaksa akur apabila langkahnya terhenti di separuh akhir selepas tunduk 0-2 kepada pemain England, Katherine Rednall, untuk membawa pulang pingat gangsa.
“Saya akan cuba ubah warna pingat ini apabila turun bersama Emma dalam acara berpasangan wanita bermula esok,” kata Nurul Alyani yang optimis untuk bangkit.
Dalam pada itu, cabaran negara bagi acara berpasangan lelaki berakhir di peringkat kumpulan selepas gandingan Izzat Shameer Dzulkeple dan Muhammad Soufi Rusli menamatkan saingan di tangga keempat.-UTUSAN










