Emma mahu lunas dendam di final

Emma mahu lunas dendam di final

Pemain boling padang, Emma Firyana ketika beraksi pada Piala Dunia Boling Padang 2025 di Kompleks Sukan Bukit Kiara, Selasa lalu. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh boling padang negara, Emma Firyana Saroji bertekad menjadikan pentas akhir acara perseorangan wanita Kejohanan Piala Dunia Boling Padang 2025 esok sebagai medan untuk membalas dendam.

Pada peringkat kumpulan sebelum ini, Emma terpaksa akur apabila tunduk kepada wakil England, Katherine Rednall dan di pentas final. Kedua-dua atlet sekali lagi akan bertembung untuk merebut kejuaraan.

Mengakui cabaran getir menanti, Emma bagaimanapun optimis momentum yang dibina sepanjang kejohanan mampu diterjemahkan kepada aksi lebih mantap di final.

“Memang agak sukar sebab masa dalam kumpulan saya kalah dengan dia. Tapi insya-Allah, siapa tahu, saya dapat balas dendam di final nanti,” katanya.

Mengulas mengenai tekanan menjelang aksi final, atlet berpengalaman itu berkata, sokongan keluarga dan jurulatih yang juga kakaknya menjadi kunci ketenangan dirinya.

“Bila rasa tertekan, saya banyak borak dengan ibu dan juga jurulatih saya. Kami bincang tentang kesilapan yang perlu diperbetulkan. Untuk final, saya tak mahu ada sebarang kesilapan langsung,” katanya.

Emma turut mengakui bahawa ketidakstabilan prestasi di peringkat awal menjadi pengajaran berguna buatnya.

“Dalam kumpulan saya menang tiga, kalah dua. Keyakinan memang turun sekejap, tapi saya cuba ‘push’ diri balik. Sekarang, saya dah jumpa rentak yang lebih baik,” ujarnya.

Ditanya mengenai strategi menentang wakil England di pentas final, Emma menegaskan bahawa konsistensi akan menjadi senjata utama.

“Pemain England itu sangat konsisten dalam setiap lontaran. Jadi saya kena lebih konsisten daripada dia kalau nak menang,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN