TOKYO: Malaysia mendapat permulaan yang positif apabila raja pecut Asia Tenggara, Muhammad Zamir Azman berjaya melangkah ke separuh akhir 100 meter (m) lelaki Deaflympics 2025 selepas menamatkan saringan ketiga dengan catatan 11.58 saat (s) di Stadium Komazawa Metropolitan, hari ini.
Zamir yang membuat penampilan sulung di temasya berkata, meskipun catatan hari ini jauh daripada rekod peribadinya 11.06s pada Sukan SEA Pekak Jakarta, beliau tetap gembira dengan peluang mara ke pusingan seterusnya.
“Alhamdulillah, syukur alhamdulillah, akhirnya saya layak, jadi saya harap pada esok hari memang kita akan buat yang terbaik untuk kelayakan masuk final untuk catatan masa yang terbaik.
“Semasa permulaan saya sedikit terganggu kerana isyarat mula membuat saya agak lambat bermula. Namun esok saya akan pastikan fokus sepenuhnya untuk mencatat yang masa terbaik,” kata Zamir kepada pemberita selepas acara di sini, hari ini.

Rakan sepasukannya, Hazrul Shah Hamri turut mara selepas mencatat 11.53s dan menyifatkan kelayakan itu sebagai suntikan motivasi untuk menumpukan sepenuhnya pada separuh akhir esok.
Hazrul yang akan membuka saingan separuh akhir dalam saringan pertama berkata beliau akan menggunakan peluang ini untuk menyaksikan kedua-dua wakil Malaysia menjejakkan kaki ke final acara reben biru itu.
“Fokus saya kini memang mahu layak ke final untuk beraksi bersama Zamir,” kata Hazrul.

Dalam pada itu, saudara kembar Zamir, Muhammad Zumar, serta wakil wanita negara, Nur Andrina Zainudin, gagal menempah tiket ke pusingan seterusnya selepas catatan masing-masing tidak mencukupi untuk berada dalam kelompok larian terpantas.
Mengikut format pertandingan, dua pelari teratas dalam setiap saringan serta lapan wakil terpantas secara keseluruhan saringan menempah slot ke separuh akhir temasya empat tahun sekali itu.
Zamir dijadualkan turun dalam saringan ketiga separuh akhir esok, bertekad memperbaiki catatan sambil menyesuaikan diri dengan suhu sejuk Tokyo yang berbeza dengan keadaan tropika ketika mencatat rekod terbaiknya. – UTUSAN










