TOKYO: Pelari negara, Azlan Kuste menghadirkan debaran di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Jepun apabila melakukan kebangkitan menakjubkan untuk menempah slot final acara 1,500 meter (m) Deaflympics 2025, hari ini.
Bermula dalam saringan kedua di lorong kelapan, atlet kelahiran Sabah itu pada awalnya ketinggalan di kedudukan kedua tercorot sebelum mempamerkan pecutan garang pada pusingan terakhir.
Kebangkitan dramatik itu turut menyaksikan beliau memperbaharui catatan peribadi dengan 4 minit 14.69 saat (s) dalam penampilan sulungnya di Deaflympics, sekaligus mengesahkan kemaraannya berdasarkan format enam pelari terpantas ke final.
“Saya sangat bersyukur kerana dapat nombor enam dan layak ke final, malah doa mak ayah, fisioterapi, jurulatih dan rakyat Malaysia sangat membantu saya.
“Saya ikut rentak negara lain seperti nasihat jurulatih, sebab badan (fizikal) kita tidak sama, jadi saya membiasakan diri dahulu dan simpan tenaga untuk pecut habis-habisan di pusingan terakhir,” kata Azlan kepada pemberita selepas acara di sini, hari ini.
Saringan itu turut didominasi pelari Iraq, Aws Mohammed Al-Jubainawi yang muncul juara saringan dengan 4:10.76s diikuti John Kiplangat Koech dari Kenya (4:12.37s) dan pelari Atlet Neutral, Aliaksandr Charniak (4:13.67s).
Azlan yang juga juara Sukan SEA Pekak Jakarta Ogos lalu bakal berdepan cabaran lebih sengit esok apabila tiga pelari Kenya dijangka menguasai rentak perlumbaan akhir bermula sekitar 2.30 petang waktu Malaysia.
Namun, atlet kelahiran Sabah itu tetap optimis memburu tanpa mengira warna pingat dengan menegaskan bahawa beliau akan mengikut segala perancangan taktikal jurulatih sambil meneguhkan semangat membawa nama Malaysia di pentas Deaflympics sulungnya. – UTUSAN










