Deaflympics 2025: Magis Azlan tidak berulang di final 1,500m

Deaflympics 2025: Magis Azlan tidak berulang di final 1,500m

Azlan Kuste (tengah) ketika melintasi garisan penamat pada acara akhir 1,500 meter (m) Deaflympics 2025 yang berlangsung di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Tokyo, Jepun. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Hasrat pelari jarak sederhana negara, Azlan Kuste, untuk mengulang prestasi cemerlang semasa pusingan pertama 1,500 meter (m) di Deaflympics 2025 tidak kesampaian apabila hanya menduduki tempat ke-10 dengan catatan 4 minit 17.74 saat (s) di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, hari ini.

Aksi final menyaksikan dua pelari Kenya yang meraih emas dan perak, James Musembi Mwanza (3:49.61s), Elikana Kiprop Rono (3:50.22s) dan gangsa milik atlet neutral Aliaksandr Charniak (3:56.77s) mendominasi podium, sekali gus menonjolkan cabaran sengit yang dihadapi Azlan.

Pelari kelahiran Sabah itu berkata, keadaan kurang sihat menjejaskan prestasinya dan teknik pernafasan sekali gus membantutkan peluang untuk menyaingi pelari-pelari gergasi dari benua lain.

“Saya minta maaf sebab hari ini kurang sihat, semalam saya sudah mula selsema dan hari ini badan rasa lain, jadi saya tidak dapat buat yang terbaik untuk Malaysia.

“Insya-Allah untuk tahun depan dan acara-acara akan datang saya cuba bagi masa terbaik, dan Jumaat ini ada acara 800 meter, saya harap dapat sihat dan layakkan diri ke final,” kata Azlan kepada pemberita selepas acara di sini, hari ini.

Semalam, Azlan mencuri tumpuan apabila mara ke final dalam penampilan sulung di Deaflympics 2025 selepas menamatkan pusingan pertama di tempat keenam dengan catatan 4:14.69s sekaligus memadam rekod peribadi 4:16s.

Mengulas corak perlumbaan yang lebih laju berbanding saringan, Azlan mengakui rentak final terlalu kuat dan sukar ditandingi walaupun semalam berjaya mencipta magis tersendiri.

Beliau menegaskan pengalaman, penyesuaian taktikal dan semangat juang menjadi kunci untuk menghadapi cabaran acara 800m Jumaat ini dengan sasaran mencatat rekod peribadi baharu.

Azlan seterusnya akan mengalih tumpuannya ke acara 800m saringan kedua yang dijadualkan berlangsung pada pukul 1.30 tengah hari waktu Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN