Hasrat Zamir, Zafrul ke final 100m tidak kesampaian

Deaflympics 2025: Hasrat Zamir, Zafrul ke final 100m tidak kesampaian

Muhammad Zamir Azman (kiri) ketika beraksi pada aksi separuh akhir 100 meter (m) Deaflympics 2025 di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Tokyo, Jepun, hari ini. - IHSAN MSDEAF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Hasrat dua jaguh pecut negara, Muhammad Zamir Azman dan Hazrul Shah Hamri tidak kesampaian untuk ke acara final 100 meter (m) apabila masing-masing terkandas pada peringkat separuh akhir pada temasya Deaflympics 2025 di Tokyo, Jepun, hari ini.

Aksi separuh akhir yang berlangsung dalam cuaca sejuk serendah 13 darjah Celcius di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa menyaksikan Hazrul terlebih dahulu menamatkan saingan saringan pertama di tempat kelapan dengan catatan 11.73 saat (s).

Wakil tuan rumah, Takuma Sasaki muncul juara saringan pertama dengan masa 10.94s bersama pelari Korea Selatan, Gong Hyeok Jun yang turut mengesahkan slot final selepas mencatat 10.99s.

Hazrul Shah Hamri (kiri) ketika beraksi pada aksi separuh akhir 100 meter (m) Deaflympics 2025 di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, Tokyo, Jepun, hari ini. – IHSAN MSDEAF

Dalam saringan ketiga, Zamir yang juga raja pecut Asia Tenggara menamatkan saingan di kedudukan kelapan menerusi masa 11.47s selepas dikelilingi kelompok pelari elit dari Estonia, Jepun, Columbia dan Mexico.

Saringan tersebut dimenangi pelari Estonia, Tanel Visnap dengan masa 10.70s manakala Gian Marco Andrade Mosquera dari Columbia berada di tempat kedua dengan 10.89s sekali gus layak ke final.

Turut mara ke final ialah Kim Lenoir dari Switzerland (10.96s) serta Shigo Sakata dari Jepun (10.97s) selepas mencatat dua terbaik di luar slot automatik.

Zamir berkata, cuaca sejuk Tokyo hari ini memberi mengugat prestasinya terutamanya dalam kawalan pernafasan semasa berlari.

“Hari ini cuaca sejuk sangat, sedut udara pun sakit dan tekak kering, tetapi Alhamdulillah saya tetap cuba berikan larian terbaik,” kata Zamir kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hazrul turut berkata cuaca sejuk itu turut memberinya sakit sendi badan sekali gus menganggu beliau dalam teknik pecutan hari ini.

“Saya dah buat yang terbaik, cuma hari ini terlalu sejuk sampai terasa sakit sendi, tetapi saya tetap bersedia untuk beri yang terbaik dalam 200m pada Jumaat,” kata Hazrul.

Kedua-dua pelari negara itu bagaimanapun masih mempunyai peluang untuk bangkit apabila dijadual turun dalam acara 200m pada Jumaat yang turut menampilkan cabaran daripada pelari Estonia, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.

Dengan persiapan mental serta fizikal terus dipertingkatkan, Zamir dan Hazrul optimis untuk memperbaiki catatan masing-masing dalam usaha menempatkan diri sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir acara pecut 200m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN