TOKYO: Hasrat atlet karate negara, V. Yilamaran untuk menamatkan penantian emas dan membalas dendam ke atas musuh lamanya, Oleksandr Makhno sekali lagi terkubur apabila tewas pada aksi final acara kumite bawah 84 kilogram (kg) di Tokyo Budokan, hari ini.
Pertemuan ulangan final edisi 2021 itu menjadi pentas yang ditunggu-tunggu Yilamaran selepas pingat emasnya diragut oleh petarung Ukraine berkenaan pada penampilan sulungnya di Brazil.
Namun, skrip sedih sama kembali menghantui apabila Makhno sekali lagi menjadi penghalang, menang 4-1 dengan ketangkasan dan kemasukan mata yang sukar dipatahkan atlet negara itu.
Walaupun tampil lebih yakin dan agresif, Yilamaran mengakui beberapa percubaannya tidak mendatangkan hasil walaupun strategi yang dibawa kali ini lebih kemas berbanding tiga tahun lalu.
“Kalau ikutkan ada peningkatan sedikit. Jadi tadi memang saya sudah berhempas-pulas mencari kelemahan pihak lawan.
“Cumanya saya tidak bernasib baik, akan tetapi kalau ikutkan untuk strategi memang kita sudah ada peningkatan,” kata Yilamaran kepada pemberita di sini, hari ini.
Untuk rekod, di Brazil pada 2021, Yilamaran turut tewas kepada Makhno dalam perebutan emas kategori sama, menjadikan kekalahan di Tokyo ini sebagai ulangan pahit yang terpaksa ditelan buat kali kedua.
Dalam pada itu, kem karate negara turut berdepan nasib kurang menyebelahi apabila tiga lagi wakil negara tersingkir pada peringkat suku akhir.
Muhammad Danial Moharam dalam kategori bawah 75kg akur tunduk 8-4 kepada wakil Algeria, Tabchache Bilal, manakala Muhammad Iqbal Mohd Taib ditunjukkan jalan keluar selepas tewas tipis 3-2 kepada atlet Taiwan, Tai Wen Chi dalam kategori bawah 67kg.
Abang Iqbal, Muhammad Afiq dalam kategori bawah 60kg pula gagal melangkah ke podium selepas ditumpaskan wakil Iran, Sadeghzadehmoghadam Milad 8-0 pada aksi penentuan pingat gangsa. – UTUSAN










