ASEAN bantu Timor Leste sertai kerangka pertahanan

ASEAN bantu Timor Leste sertai kerangka pertahanan

MOHAMED Khaled Nordin mempengerusikan ADMM+ Ke-21 di KLCC hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN akan membantu Timor Leste dalam soal kerangka pertahanan serantau, termasuk segala bentuk bantuan bagi menyokong proses integrasi negara itu secara berperingkat sebagai negara anggota.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu memberi tumpuan kepada memperkukuh kapasiti dan kepakaran pertahanan Timor Leste mengikut keperluan pembangunan negaranya.

“Kita faham keadaan Timor Leste dan tidak menjangka atau mengharapkan bahawa dengan kemasukannya, ia mampu serta-merta menyertai pada tahap seperti mana negara-negara ASEAN lain yang terdahulu.

“Kita perlu memfasilitasi. Kita tidak mahu Timor Leste melihat atau merasakan bahawa menyertai ASEAN adalah satu beban. Jadi, kita beri ruang kepada mereka untuk bergerak mengikut kemampuan dan kesediaan sendiri, namun kita akan tetap membantu dan memudah cara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-19 dan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN Bersama Rakan Dialog (ADMM+) Ke-12 .

Mohamed Khaled berkata, Malaysia akan membantu memudahkan penyertaan dan integrasi secara berperingkat Timor Leste ke dalam kerangka pertahanan ASEAN, termasuk latihan ketenteraan dan maritim serantau.

Katanya, penyertaan dalam aktiviti sedemikian akan memberi manfaat kepada Timor Leste dengan memberikan pendedahan kepada mekanisme kerjasama ASEAN serta membantu membina keyakinan dan kepercayaan antara negara anggota.

“Kita beritahu mereka bahawa apa sahaja latihan ketenteraan atau maritim boleh disertai bergantung kepada kesediaan mereka. Tetapi untuk kebaikan mereka sendiri, penting untuk mengambil peluang tersebut bukan sahaja bagi memahami konteks kerjasama dalam ASEAN, tetapi juga untuk membina jaringan dan hubungan.

“Dan yang paling penting, seperti yang saya sering tekankan, penglibatan secara kerap akan membina kepercayaan dan kepercayaan amat penting dalam kerjasama, kerana tanpa kepercayaan, tidak akan ada perkongsian yang berkekalan,” katanya.

Timor Leste secara rasmi menjadi anggota ke-11 ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 baru-baru ini.

Penyertaan direalisasikan sempena Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor Leste ke ASEAN yang ditandatangani semua 11 pemimpin negara anggota, dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas memperoleh kemerdekaan pada 2002, Timor Leste memohon untuk menyertai ASEAN pada 2011 dan diberikan status pemerhati pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN