PORTIMAO: Pelumba Sepanyol, Alex Marquez menebus kekecewaan selepas terjatuh dalam sesi kelayakan untuk memenangi perlumbaan pecut MotoGP Portugal di Litar Portimao, tengah malam tadi.
Pelumba Ducati-Gresini itu, yang sudah pasti menamatkan musim di tempat kedua di belakang abangnya Marc Marquez, menamatkan perlumbaan di hadapan rakan senegaranya, Pedro Acosta (KTM) dan Marco Bezzecchi dari Itali (Aprilia).
Bezzecchi yang bermula dari petak utama gagal mengekalkan kedudukannya apabila Acosta yang berada dalam prestasi cemerlang mengekori dan kemudian diikuti Marquez yang bermula dari petak kelima.
Marquez berjaya memintas Acosta empat pusingan sebelum tamat untuk meraih kemenangan sulungnya dalam kategori utama, yang disertainya sejak 2024.
Juara dunia 2021, Fabio Quartararo dari Perancis bermula dari petak ketiga dan menamatkan perlumbaan di tempat keempat, manakala Francesco Bagnaia dari Itali berada di tempat kelapan untuk Ducati.
Dengan gelaran dunia dan tempat kedua sudah pasti milik adik-beradik Marquez, perebutan kedudukan ketiga kejuaraan masih terbuka luas.
Bezzecchi kekal di tangga ketiga kejuaraan selepas perlumbaan 12 pusingan ini dengan kelebihan 10 mata ke atas Bagnaia yang berada di tempat keempat.
Marc Marquez yang cedera serta juara dunia 2024, Jorge Martin dari Aprilia, tidak menyertai perlumbaan di Portugal. – AGENSI










