SEREMBAN: Penarikan diri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dilihat sebagai langkah politik matang selain mencerminkan semangat setiakawan dalam Barisan Nasional (BN).
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkatam perbincangan sememangnya telah diadakan di peringkat pimpinan parti dan Abdul Rahman berbesar hati bersetuju memberi ruang kepada Ketua Bahagian Kota Belud untuk dicalonkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
“Dia bukan ketua bahagian di situ, tetapi dia ketua bahagian Tuaran tetapi dia bertanding di kawasan Parlimen Kota Belud.
“Jadi, perbincangan telah dilakukan agaknya di peringkat mereka maka Datuk Seri (Abdul) Rahman amat berbesar hati dan ia merupakan sebahagian hasrat beliau yang ingin beri laluan kepada ketua bahagian di Kota Belud,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Kit Untuk Calon SPM 2025 dan Komputer Riba Untuk Pelajar IPT Parlimen Rembau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pagi, Senawang, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Abdul Rahman menarik diri sebagai calon BN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, tindakan Abdul Rahman itu wajar dijadikan contoh kepada pemimpin lain kerana ia menggambarkan keutamaan terhadap kekuatan parti berbanding kepentingan peribadi.
“Ini satu perkara yang baik dan menunjukkan politik yang matang kerana kita beri laluan kepada pemimpin setempat. Diharap keputusan ini dapat memberi peluang kepada calon baharu untuk menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya. – UTUSAN










