86 kertas siasatan kesalahan PRN Sabah telah dibuka

86 kertas siasatan kesalahan PRN Sabah telah dibuka

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sebanyak 86 kertas siasatan daripada 157 laporan berkaitan kesalahan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah dibuka untuk tindakan lanjut dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan seterusnya.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, ia membabitkan kesalahan pilihan raya dengan kebanyakannya membabitkan perbuatan mencabut bendera, khianat terhadap poster serta provokasi politik pada PRN kali ini.

“Kita juga merujuk beberapa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta satu lagi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membabitkan isu dalam media sosial seperti dakwaan fitnah dan provokasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau proses pengundian di Pusat Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa di sini, hari ini.

Mohd. Khalid memberi jaminan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau menggugat ketenteraman sepanjang hari pengundian.

Katanya, namun proses pengundian PRN Sabah berjalan lancar dan terkawal tanpa sebarang insiden besar.

Beliau berkata hasil pemantauan awal di beberapa pusat mengundi menunjukkan aliran pengundi bergerak teratur sejak pusat mengundi dibuka jam 8 pagi tadi.

“Keadaan keseluruhannya baik, teratur dan terkawal. Tidak ada isu besar yang boleh menimbulkan keraguan atau kerisauan kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid memaklumkan bahawa tiada insiden banjir dilaporkan, setakat ini, namun menasihati pengundi supaya keluar lebih awal untuk mengundi berikutan keadaan cuaca diramal mendung pada sebelah petang.

“Saya menyeru pengundi agar keluar mengundi awal untuk mengelak kesesakan atau cuaca buruk. Setakat ini, cuaca baik dan tiada banjir dilaporkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN