15 pusat peperiksaan SPM berisiko terjejas banjir di Negeri Sembilan

15 pusat peperiksaan SPM berisiko terjejas banjir di Negeri Sembilan

KHALIDA Omar bertemu calon peperiksaan SPM di SMK Nilai Impian, Nilai, Seremban hari ini. -UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 15 pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berisiko terjejas banjir di Negeri Sembilan susulan kesan Monsun Timur Laut.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Khalida Omar berkata, jumlah itu telah dikenal pasti pihaknya termasuk seramai 246 orang calon SPM yang berkemungkinan terkesan banjir.

“Ia melibatkan semua daerah, senarai ini akan disemak dari semasa ke semasa.

‘Jika kawasan itu ditenggelami air, kami sudah ada lokasi alternatif. Sekolah berkenaan juga boleh dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya perlu,” katanya.,” katanya

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas membuat lawatan sempena hari pertama peperiksaan bertulis SPM Tahun 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nilai Impian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua calon yang dikenal pasti berkemungkinan terjejas bencana itu adalah berdasarkan rumah atau kawasan tempat tinggal mereka berada dalam zon banjir.

“Kami sebenarnya sudah menawarkan kepada mereka untuk membuat pergerakan awal ke sekolah berasrama.

“Namun sebahagian calon dan ibu bapa lebih selesa untuk kekal di rumah atau berpindah ke rumah saudara-mara sekiranya berlaku kecemasan.

“Kami tetap galakkan mereka berpindah lebih awal ke asrama bagi mengelakkan masalah pergerakan pada hari peperiksaan. Apa pun, kita beri pilihan kepada mereka mengikut kesesuaian,” katanya.

Sementara itu, katanya, seramai 17,354 calon menduduki peperiksaan SPM di Negeri Sembilan tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN