KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmão menyantuni pengamal media dengan memberi gula-gula di luar dewan Sidang Kemuncak ASEAN.
Gusmão sempat bertanya pihak media yang dilihat beliau seperti belum sempat makan.
“Muka anda kelihatan lapar (sambil menyeluk poket) saya nak berikan sesuatu yang manis dan awak juga (wartawan)?
“Nah (untuk awak),” katanya kepada pihak media sebelum menghadiri sesi makan tengahari bersama pemimpin ASEAN lain sempena Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Makan tengahari turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Gusmão mendapat perhatian pengamal media yang berada di kawasan yang dikhaskan apabila menghulurkan coklat dan gula-gula kerana menunggu lama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Mei lalu.
Tindakan penuh keprihatinan itu mewujudkan penghargaan dalam kalangan petugas media yang keletihan semasa menjalankan tugas kerana tidak menjangka menerima sapaan daripada pemimpin sebuah negara dalam program rasmi pada persidangan antarabangsa. – UTUSAN










