BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mematuhi sebarang arahan atau pedoman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung langkah pemakaian pelitup muka di sekolah susulan kebimbangan berlakunya peningkatan jangkitan influenza.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, setakat ini, pihaknya belum mengeluarkan sebarang arahan terbaharu berhubung perkara itu selagi tidak menerima saranan daripada KKM.
“Kalau ada pedoman dan arahan daripada KKM, kita akan ikut dan tak ada masalah setakat ini di peringkat kami (KPM) untuk melaksanakan apa-apa saranan dan syor daripada KKM.
“Jadi, kita masih menunggu saranan daripada KKM,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli 2025 anjuran bersama Wanita Keadilan Pulau Pinang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Dewan Yayasan Aman di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular dakwaan mengatakan bahawa beberapa sekolah di negeri ini mewajibkan pelajar memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes influenza.
Bagaimanapun, situasi itu masih berada dalam kawalan, menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi.
Gooi berkata, berdasarkan analisis terkini Survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) bagi tempoh Minggu Epid (ME) 32 hingga ME 37, kadar jangkitan berasaskan klinikal direkodkan antara 9.5 hingga 10.5 peratus.
“Bagi Survelan ILI berasaskan makmal pula, kadar positif menunjukkan sedikit peningkatan iaitu antara 26.7 hingga 28.9 peratus, dengan Influenza A kekal sebagai strain dominan.
“Namun, kadar itu masih lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatat antara 35.6 hingga 51.1 peratus,” katanya. – UTUSAN










