SANTIAGO: Bintang berbasikal Itali, Elia Viviani menutup tirai karier profesionalnya dengan penuh emosi selepas menjuarai acara penyingkiran pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia Trek di Chile, semalam.
Pelumba berusia 36 tahun itu menewaskan wakil New Zealand, Campbell Stewart untuk meraih jersi pelangi terakhirnya sebelum menandakan penamat karier dengan melintangkan tangan di garisan penamat.
Kejayaan itu menjadi detik manis buat Viviani yang mengakhiri karier selama 15 tahun dengan 90 kemenangan di jalan raya selain menjadi ikon utama kebangkitan trek Itali di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan Marco Villa.
Dikenali sebagai Il Profeta (Nabi) kerana kepimpinannya dalam pasukan trek Itali, seluruh skuad negara itu turut meraikan kejayaan terakhirnya di podium sambil Villa menyarungkan jubah bertulis The Last Dance – Il Profeta.
“Saya tidak dapat bayangkan cara yang lebih indah untuk menamatkan karier saya. Saya masih rasa ada peluang untuk meraih keputusan baik dan sebab itu saya mahu mengakhiri perjalanan ini di kejohanan dunia. Saya bangga dengan apa yang telah saya capai dan berterima kasih atas sambutan penuh emosi di Chile.
“Ketika saya mula beraksi di trek, saya seorang diri, tetapi kini lahir generasi baharu yang menunjukkan bakat luar biasa. Kini giliran mereka untuk terus mengibarkan panji Itali di arena trek dunia,” kata Viviani.
Sepanjang kariernya, Viviani pernah beraksi untuk pasukan ternama seperti Liquigas, Team Sky, QuickStep, Cofidis, Ineos Grenadiers dan Lotto serta memenangi lima peringkat Giro d’Italia, satu di Tour de France dan tiga di Cyclassics Hamburg.
Beliau dijangka terus memainkan peranan penting dalam pembangunan skuad trek Itali selain dilantik mewakili pelumba trek dalam Suruhanjaya Atlet Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). – AGENSI










