KUALA LUMPUR: Juara dunia dua kali, Uruguay hanya mampu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Republik Dominika pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), sebentar tadi.
Uruguay yang menduduki ranking ke-15 dunia tampil menentang pasukan lawan yang menghuni ranking ke-142 dunia tanpa pemain bintang mereka, bagi memberi peluang kepada skuad kedua menunjukkan kemampuan.
Pasukan dari Amerika Selatan itu yang telah mengesahkan tempat di Piala Dunia 2026 bagaimanapun lebih banyak menguasai babak pertama namun bergelut untuk mencari gol pembukaan sekali gus menyaksikan babak pertama berakhir tanpa jaringan.
Republik Dominika juga tidak kurang hebatnya apabila turut memberikan saingan sengit dengan melakukan empat percubaan tepat ke gawang Uruguay sepanjang perlawanan.
Bersambung babak kedua, Uruguay meningkatkan asakan dan jaringan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-60 menerusi penyudah Ignacio Laquintana.
Walaupun mencipta beberapa peluang namun jentera serangan Uruguay buntu menambah jaringan.
Keputusan 1-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan untuk kemenangan buat Uruguay.
Selepas ini, Uruguay akan menentang pasukan di ranking ke-54 dunia, Uzbekistan di Stadium Hang Jebat pada Isnin.-UTUSAN