Treler hilang kawalan, jatuh dari 'flyover'

Treler hilang kawalan, jatuh dari ‘flyover’

SEBUAH treler terbabas lalu jatuh dari atas sebuah jejambat atau flyover di Kilometer 203, Jalan Johor Bahru-Seremban, Batu Anam, Segamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebuah treler membawa muatan terbabas lalu jatuh dari jejambat di Kilometer 203, Jalan Johor Bahru–Seremban awal pagi kelmarin, menyebabkan pemandunya cedera.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kemalangan tersebut kira-kira pukul 5.30 pagi, dua hari lalu.

“Siasatan awal mendapati, treler jenis Volvo yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an sedang melalui selekoh di persimpangan bertingkat dari arah Bahau menghala ke Johor Bahru.

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan berat itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar penghadang jalan dan terjatuh dari jejambat ke bawah Jalan Pekan, Batu Anam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu berkenaan mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Segamat.

Katanya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai hingga menyebabkan kemalangan.

“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” jelasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di talian 07-9325811 bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN