KUALA LUMPUR: Thailand berharap Amerika Syarikat (AS) memberi pertimbangan menguntungkan terhadap beberapa permintaan negara itu khususnya melibatkan kadar tarif.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow berkata, pihaknya mahu rundingan perdagangan dua hala yang sedang dijalankan dimuktamad secepat mungkin bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh kedua-dua negara.
“Kami mahu memuktamadkan rundingan itu dengan cepat menjelang akhir tahun dan kami berharap pihak AS akan memberikan pertimbangan yang menguntungkan terhadap beberapa permintaan kami berkaitan tarif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan rundingan antara Thailand dan AS semasa sesi sidang media sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Sebelum ini, AS mengenakan tarif baharu sebanyak 19 peratus ke atas barangan Thailand berkuatkuasa 1 Ogos lalu.
Kadar baharu itu menggantikan tarif 36 peratus yang diumumkan pada April, menjadikan kadar tarif Thailand seiring dengan ekonomi serantau. – UTUSAN










