PETALING JAYA: Terjunan terakhir penuh berani Nur Eilisha Rania Abrar Raj menghadiahkan Malaysia pingat gangsa acara platform 10 meter (m) wanita pada Kejohanan Akuatik Asia di Ahmedabad, India, semalam.
Atlet berusia 20 tahun itu ketinggalan di belakang penerjun Indonesia, Gladies Lariesa Garina Hagakore selepas empat terjunan, namun bangkit dengan catatan 55.50 mata pada cubaan kelima untuk mengumpul keseluruhan 240.10 mata di Kompleks Sukan Veer Savarkar .
Kesilapan Gladies yang hanya meraih 37.50 mata pada terjunan terakhir membuka ruang buat Eilisha menyambar tempat ketiga dengan kelebihan tipis 5.60 mata, sekali gus menyingkirkan lawan itu ke tangga keempat (234.50).
Pingat gangsa ini adalah koleksi ketiga buat Eilisha selepas meraih perak 3m papan anjal seirama bersama Ong Ker Ying pada Ahad lalu serta perak 10m platform seirama bersama Nurul Farisya Alia Affendi sehari kemudian.
Emas acara kali ini milik sensasi baharu China, Liu Zi Han yang hanya berusia 11 tahun selepas mengumpul 370.25 mata, meninggalkan rakan sepasukan, Wu Xia Han (298.75) di tempat kedua.
Seorang lagi wakil negara, Nurul Farisya Alia Affendy, menamatkan saingan di tangga kelima dengan 205.40 mata, hanya kurang 29.10 mata daripada Gladies.
Sementara itu, acara akhir papan anjal 3m lelaki menyaksikan Muhammad Syafiq Puteh menduduki tempat kelima dengan kutipan 355.05 mata.
Emas milik penerjun China, Tai Xiao Hu (455.25), perak rakan senegara, Lin Heng Nuo (432.45) dan gangsa milik wakil Uzbekistan, Vyacheslav Kachanov (368.85). – UTUSAN