PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menempah tiket ke suku akhir Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman selepas menewaskan pasangan Indonesia, malam tadi.
Turun selaku pilihan ketiga, gandingan negara itu bermandi peluh selama 52 minit sebelum menundukkan Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana 21-9, 17-21, 22-20 dalam pertarungan tiga set mendebarkan.
Kemenangan itu menjadi tonik penting buat Wei Chong-Kai Wun yang kini memburu kejuaraan pertama mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF musim ini.
Namun, ujian getir menanti mereka di suku akhir apabila dijadualkan menentang gandingan baharu Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri hari ini.
Pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan itu dijangka sengit memandangkan Fajar-Shohibul sudah dua kali menundukkan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam dua kejohanan terakhir iaitu Terbuka Perancis dan Terbuka China.
Dalam pada itu, kem negara turut bersorak apabila beregu muda wanita, Ong Yin Yee-Carmen Ting melakar kemenangan penuh semangat untuk mara ke suku akhir.
Pasangan No. 34 dunia itu menewaskan gandingan Sepanyol, Nikol Carulla-Carmen Maria Jimenez 25-23, 21-14 dalam masa 48 minit.
Bagaimanapun, cabaran sukar menanti mereka apabila dijadualkan menentang pilihan kedua dari Taiwan, Hsu Yin Hui-Lin Jhih Yun bagi perebutan tempat ke separuh akhir kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Dalam saingan perseorangan wanita pula, cabaran pemain muda negara, K. Lesthanaa berakhir apabila tewas kepada pilihan kedua dari Denmark, Mia Blichfeldt 11-21, 13-21.
Turut menerima nasib sama, beregu campuran profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila tunduk 13-21, 10-21 kepada pilihan keenam dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat. – UTUSAN

 
								 
											









