SEPANG: Pembekal tayar MotoGP, Michelin mengesahkan Francesco Bagnaia terpaksa menarik diri daripada Grand Prix (GP) Malaysia akibat mengalami kebocoran pada tayar belakang jenteranya.
Pelumba Ducati itu berjaya menamatkan kemerosotan prestasinya di Sepang apabila Bagnaia meraih petak utama serta mendominasi perlumbaan pecut pada Sabtu lalu.
Bagnaia dijangka memenangi perlumbaan utama di Sepang namun kelajuan jenteranya semakin merosot sebelum pelumba Itali itu memperlahankan motosikal pada pusingan ke-18 akibat isu teknikal yang ketara.
“Kami mengesan terdapat lubang di bahagian tengah tayar belakang. Bagnaia merasakan motosikalnya mula berkelakuan pelik. Apabila dia kembali ke pit, kami periksa dan dapati tekanan tayarnya berada antara 0.6 dan 0.7 bar,” kata Ketua Michelin, Piero Taramasso.
Taramasso turut berkata kebocoran tayar Bagnaia berpunca daripada serpihan di trek walaupun Ducati belum mengesahkannya.
Sementara itu, Bagnaia berkata kebocoran tayarnya dapat dirasakan sejak pusingan ke-12 walaupun pada mulanya pelumba berusia 28 tahun itu menyangka dia gagal mengurus tayar belakang dengan baik.
“Malangnya, tahun ini kami mengalami sedikit nasib malang, dan di sini apa yang berlaku telah pun berlaku, tayar belakang saya bocor,” katanya.
“Malangnya, daripada data kami lihat bahawa kebocoran itu bermula pada pusingan ke-12 dan setiap pusingan selepas itu tekanan tayar semakin menurun.
“Sejujurnya, saya sangka saya tidak dapat mengurus tayar belakang dengan baik kerana tiba-tiba saya mula rasa cengkaman sangat berkurangan atau sekurang-kurangnya ia semakin teruk dari satu pusingan ke satu pusingan,” katanya. – AGENSI










