JOHOR BAHRU: Hasrat skuad hoki remaja negara untuk meraih kemenangan pertama terbantut apabila diikat Australia 1-1 pada perlawanan kedua Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun di Stadium Hoki Johor di Taman Daya, di sini malam tadi.
Pada perlawanan itu, skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin mempamer aksi memberangsangkan walaupun pihak lawan melakukan tekanan kepada pasukan tuan rumah seawal minit pertama.
Skuad Young Tigers itu dilihat mampu menyerap tekanan dengan baik apabila mengekang kemaraan pasukan Australia yang cuba menembusi benteng pertahanan Malaysia.
Australia berupaya melakukan percubaan tepat ke pintu gol menerusi pukulan tinggi Oliver Will pada minit kesembilan namun Haziq Muizuddin Hairul Mizan bertindak cemerlang menafikan percubaan itu.
Skuad hoki remaja yang sesekali melakukan serangan ke kubu lawan berupaya memperoleh pukulan sudut penalti setelah bola terkena kaki pemain pertahanan lawan.
Pukulan sudut penalti yang diambil P. Naaveenesh berjaya disempurnakan oleh pemain pertahanan, Azimuddin Shakir Kamaruddin apabila melakukan pukulan kencang menerjah gawang pada minit ke-13.
Skuad hoki remaja negara hampir menambah jaringan pada suku kedua permainan apabila Addy Jazmi Jamlus membiaskan pukulan Nabil Irfan Mohd. Yusof namun biasan itu sedikit tersasar dari pintu gol lawan pada minit ke-21.
Dua minit berselang, Haziq Muizuddin sekali lagi bertindak cemerlang menafikan pukul deras kapten Australia, Toby Mallon bagi memastikan pintu gawang negara tidak dibolosi.
Pada suku ketiga, Young Tigers bertahan dengan baik apabila menutup ruang buat pasukan Australia untuk melakukan serangan dan Haziq Muizuddin menafikan peluang Duncan Jackson untuk menjaringkan gol padang pada minit ke-44.
Serangan bertali arus Australia akhirnya membuahkan hasil apabila anak buah Jay Stacy memperoleh gol penyamaan pada minit ke-47 hasil jaringan Ian Grobbelaar menerusi pukulan sudut penalti.
Skuad hoki remaja negara hampir menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-50 namun pukulan yang dilakukan Danish Irfan Muhammad Saufi sekadar menggegar palang gol lawan.
Aksi 10 minit terakhir permainan bertambah agresif namun tiada jaringan berjaya dijelmakan oleh kedua-dua pasukan yang terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.
Dalam perlawanan terdahulu, India mengukuhkan cengkaman di posisi teratas kumpulan apabila menewaskan New Zealand 4-2.
India selesa di hadapan pada separuh masa pertama apabila Sunil Bennur, Arshdeep Singh dan Araijeet Singh masing-masing menjaringkan satu gol sebelum kapten New Zealand, Gus Nelson merapatkan jurang menerusi gol padang pada minit ke-41.
India kembali menjarakkan kedudukan apabila Rosan Kujur menjaringkan gol keempat pasukan dan New Zealand memperoleh gol saguhati pada minit ke-52 menerusi gol padang yang dijaringkan oleh Aiden Bax.-UTUSAN