Skuad Hoki remaja optimis benam Pakistan pada aksi pembukaan

Skuad Hoki remaja optimis benam Pakistan pada aksi pembukaan

Kaliswaran (kanan) akan membuat perhitungan dengan Azfar pada aksi pembukaan antara Malaysia menentang Pakistan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Skuad hoki remaja negara optimis bagi memburu kemenangan pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) menentang Pakistan di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, di sini esok (Sabtu).

Timbalan ketua jurulatih Young Tigers, M. Kaliswaran berkata, walaupun Pakistan hadir dengan reputasi sebagai pasukan berpengalaman yang dibarisi ramai pemain senior, anak buahnya tidak gentar dan akan memberi tentangan sengit.

Katanya, pemain kini berada pada tahap terbaik dari segi fizikal dan mental serta tidak sabar mempamerkan aksi cemerlang dalam kejohanan itu.

“Pakistan sememangnya pasukan kuat dan berpengalaman, namun kami sudah membuat persiapan rapi. Setiap perlawanan kami masuk untuk menang, dan itu menjadi motivasi utama pemain ketika ini.

“Jadi, untuk perlawanan pembukaan esok, pemain perlu mempamer corak permainan agresif dengan harapan dapat meraih kemenangan pada aksi pembukaan,” katanya.

Mengulas mengenai cabaran taktikal, Kaliswaran menjelaskan bahawa setiap perlawanan menuntut pendekatan berbeza bergantung kepada kekuatan lawan seperti Australia, New Zealand, Great Britain dan India dan pemain dituntut untuk cepat menyesuaikan diri.

Beliau turut mengakui aspek pertahanan khususnya di bahagian gawang menjadi cabaran besar setelah pasukan membariskan dua penjaga gol baharu yang masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

“Kami telah memberi tumpuan terhadap pertahanan dan pukulan sudut penalti. Serangan kami semakin tajam, namun aspek pertahanan dan pengalaman penjaga gol akan terus dipertingkatkan,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus Pakistan, Azfar Yaqoob menegaskan barisan pemainnya yang dibarisi gabungan pemain senior dan pemain muda bersedia bagi mengharungi kesemua perlawanan SOJC edisi ke-13 ini.

“Pasukan yang diturunkan pada kejohanan tahun ini diperkuat dengan kemasukan empat dan lima pemain skuad senior, malah kami sempat mengadakan beberapa siri persahabatan menentang Jerman dan Oman.

“Saya berharap pemain dapat tampil dengan corak permainanan yang menarik dan pengalaman yang dimiliki pemain senior mampu memberi kelebihan buat pasukan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN