NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) optimis Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Byram baharu yang bakal beroperasi dapat memudahkan akses pendidikan bagi penduduk setempat.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, usaha pembinaan sekolah tersebut telah diperjuangkan sekian lama bagi memastikan murid di kawasan penempatan baharu itu mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.
“Pembinaan sekolah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kita untuk menjayakan lokasi pendidikan yang selamat dan kondusif.
“Jadi, inilah hasilnya apabila kita mempunyai kerajaan yang kuat, stabil dan sentiasa mengutamakan rakyat dan rakyat dapat memanfaatkannya.
“Semoga sekolah ini akan terus maju dan cemerlang, apatah lagi dengan keadaan sekolah serta fasiliti yang cukup baik dan kondusif. Kita mengharapkan pendaftaran murid di sekolah ini turut akan meningkat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pemberita selepas merasmikan bangunan baharu SJKT Ladang Byram dan Projek Penempatan Semula Ladang Byram, Mukim 11, Seberang Perai Selatan (SPS) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, di sini, hari ini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan di atas tanah seluas 3.5 hektar dan menelan belanja sehingga RM18.4 juta itu merangkumi pembangunan 68 unit rumah teres, sebuah bangunan sekolah dua tingkat serta sebuah bangunan kuil satu tingkat.
“Pejabat Daerah dan Tanah SPS telah melaksanakan bancian pada tahun 2016 bagi mengenal pasti keluarga yang terlibat dan berdasarkan bancian tersebut, pampasan yang sewajarnya telah diberi kepada semua penduduk terlibat dalam proses pengambilan tanah.
“Bagaimanapun, hanya keluarga yang masih menetap di Ladang Byram ketika bancian dibuat dipertimbangkan untuk menerima rumah gantian, bagi memastikan keadilan dan keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar terkesan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan penduduk Ladang Byram yang majoritinya terdiri daripada masyarakat India telah lama berhadapan dengan kesan pencemaran dari tapak pelupusan sampah Pulau Burung.
Isu terbabit bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk malah turut mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran diberikan SJKT Ladang Byram. – UTUSAN







