PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 8 dunia, S. Sivasangari melangkah ke perlawanan akhir buat kali pertama, musim ini, selepas membenam Salma Hany Ibrahim Ahmed dari Mesir pada separuh akhir Terbuka Silicon Valley 2025 di Redwood City, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Jaguh perseorangan wanita No. 1 Malaysia itu meneruskan rentak konsistennya apabila menyingkirkan pemain yang menghuni ranking ke-15 dunia itu 11-3, 11-9, 11-5 dalam masa 22 minit.
Kejayaan tersebut menyaksikan Sivasangari bakal menghitung pertemuan dengan jaguh No. 5 dunia, Olivia Weaver yang merupakan wakil tuan rumah dalam perlawanan akhir, esok.
Sivasangari berkata, kemenangan tersebut amat bermakna buatnya memandangkan Salma Hany bukanlah calang-calang lawan.
“Dia seorang pemain yang memiliki skil yang cukup baik, saya masih ingat kali terakhir kami bertemu, saya telah mendahului 2-0, tetapi, pada pengakhirannya saya tewas perlawanan tersebut,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.
Kata pemain berusia 26 tahun itu, dia berusaha untuk fokus pada setiap mata yang diraihnya dan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap permainan rali.
“Saya mengikut perancangan permainan yang telah diatur dengan cukup baik, saya berpuas hati dapat mara ke perlawanan akhir, tahun ini, selepas tersingkir pada separuh akhir edisi tahun lalu,” katanya.
Sivasangari berkata, kemenangan tersebut meningkatkan keyakinannya untuk bersaing dengan pemain-pemain handalan dunia dan cuba beraksi lebih konsisten menewaskan pencabar yang menghuni ranking di bawahnya. – UTUSAN