RAMALLAH: Israel bertindak merobohkan 312 struktur kediaman dan pertanian milik rakyat Palestin, menjejaskan lebih 21,000 penduduk sepanjang enam minggu pertama tahun 2026, menurut sebuah kumpulan hak-hak asasi Palestin.
Menurut kenyataan Pusat Bantuan Undang-Undang dan Hak Asasi Baitulmuqaddis, awal tahun ini menyaksikan peningkatan ketara perobohan oleh Israel serta serangan penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang dijajahnya.
Pusat itu yang merujuk data daripada Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA)
Ia menyatakan kebanyakan perobohan struktur berlaku di Kawasan C, yang merangkumi sekitar 60 peratus Tebing Barat dan berada sepenuhnya di bawah kawalan Israel.
“Antara 16 hingga 23 Februari, (sebanyak) 86 serangan oleh penempatan haram direkodkan membabitkan 60 komuniti, mengakibatkan 186 rakyat Palestin terpaksa dipindahkan, 64 (lagi) individu cedera.
“Beberapa daripadanya ditembak peluru hidup oleh penceroboh dengan 39 kenderaan dibakar, dan 800 pokok zaitun dicabut. Angka ini amat membimbangkan.
“Tindakan ini juga merupakan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya Konvensyen Geneva Keempat, yang melarang pemusnahan harta peribadi di wilayah diduduki (Israel),” katanya.
Pusat itu turut menekankan serangan oleh peneroka haram merangkumi serangan fizikal terhadap penduduk, kerosakan harta selain menghalang penggembala daripada mengakses tanah mereka.
Ia menuduh pihak berkuasa Israel gagal melindungi rakyat Palestin, menyebabkan pemindahan paksa hampir setiap minggu di Kawasan C bagi tujuan meluaskan operasi rampasan penempatan.
Kumpulan itu menyeru komuniti antarabangsa menekan Israel untuk segera menghentikan perobohan dan pemindahan, memastikan perlindungan bagi penduduk, menuntut mereka yang bertanggungjawab serta menyediakan sokongan undang-undang serta kemanusiaan kepada organisasi hak-hak Palestin.
Sejak perang di Gaza bermula pada 8 Oktober 2023, tentera Israel dan peneroka haram meningkatkan serangan di Tebing Barat, termasuk pembunuhan, penahanan, pemusnahan harta, perobohan, pemindahan serta memperluas rampasan penempatan.
Keganasan itu mengorbankan sekurang-kurangnya 1,117 penduduk Palestin, kira-kira 11,500 lagi cedera dan menahan sekitar 22,000 orang.
Penduduk Palestin memberi amaran tindakan berterusan ini boleh membuka jalan bagi Israel untuk secara rasmi merampas Tebing Barat dan bakal menamatkan kemungkinan penubuhan negara Palestin seperti yang digariskan dalam resolusi PBB. -AGENSI










