Sivasangari ke separuh akhir Terbuka Silicon Valley

Sivasangari ke separuh akhir Terbuka Silicon Valley

Sivasangari (depan) sewaktu beraksi menentang Amanda Sobhy pada suku akhir Terbuka Silicon Valley di California, Amerika Syarikat, hari ini. - Ihsan PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 8 dunia, S. Sivasangari menewaskan wakil tuan rumah, Amanda Sobhy pada suku akhir Terbuka Silicon Valley 2025 di Redwood City, California, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Pemain kelahiran Sungai Petani, Kedah itu mengambil masa selama 48 minit untuk mengetepikan Sobhy yang menghuni ranking No. 9 dunia 12-10, 12-10, 8-11, 11-6.

Pada separuh akhir, esok, jaguh perseorangan wanita No. 1 Malaysia itu bakal berdepan pemain No. 15 dunia, Salma Hany Ibrahim Ahmed dari Mesir.

Salma Hany melepasi halangan suku akhir selepas mengejutkan bintang No. 7 dunia, Satomi Watanabe dari Jepun 11-13, 11-8, 11-9, 11-8 dalam masa 52 minit.

Sivasangari perlu berhati-hati berdepan Salma Hany yang mempunyai keupayaan melakar kejutan dengan gaya permainannya yang agresif dan bertenaga.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain juga tidak berpihak kepada Sivasangari yang pernah tewas dua kali berbalas satu kemenangan di tangan pemain berusia 29 tahun itu.

Kali terakhir Sivasangari, 26, mencipta kemenangan ke atas Salma Hany ialah pada Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir, tiga tahun lalu.

Pada pertemuan terakhir dan secara kebetulan di kejohanan sama tahun ini, Sivasangari tunduk kepada Salma Hany 11-9, 11-4, 7-11, 2-11, 8-11 di pusingan kedua.

Jika berjaya melepasi halangan tersebut, Sivasangari bakal berdepan sama ada pemain tuan rumah, Olivia Weaver yang merupakan jaguh No. 5 dunia atau pemain No. 10 dunia, Georgina Kennedy dari England pada perlawanan akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN