PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa sekarang ini bukan menunding jari mencari salah siapa berkaitan isu hukuman yang dikenakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Tunku Mahkota Ismail turut menyifatkan tindakan menggantung Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman kerana isu itu juga berkenaan tidak sepatutnya berlaku.
Baginda menjelaskan bahawa semua pihak yang terbabit sepatutnya perlu bertanggungjawab dan mencari jalan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan kemelut itu.
“Saya tidak bersetuju. Secara jujurnya, saya rasa penggantungan terhadap Setiausaha Agung FAM tidak patut. Saya tidak setuju dengan tindakan itu.
“Bagi saya, semua pihak perlu memikul tanggungjawab ini. Termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (pasukan kebangsaan, Rob Friend) dan semua yang terbabit.
“Saya tidak berminat bermain ‘permainan menyalahkan’. Kita di sini untuk mencari penyelesaian. Apa penyelesaian terbaik untuk pasukan kebangsaan? Saya tidak berminat untuk menyalahkan sesiapa, tetapi saya mahu cari jalan bagaimana kita boleh selesaikan perkara ini,” kata Tunku Mahkota Ismail pada sidang media, di sini, hari ini.
Pada 17 Oktober lalu, Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram mengumumkan bahawa Noor Azman digantung serta-merta berikutan keputusan tatatertib berkaitan isu dokumentasi tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Terdahulu, FAM dan tujuh pemain warisan membabitkan Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dihukum Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.-UTUSAN










