KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Razeeq Danial Roslie berharap dapat mara sekurang-kurangnya sehingga ke separuh akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia yang bermula semalam di Guwahati Assam, India.
Pemain berusia 18 tahun itu berkata, halangan terbesar yang bakal dihadapinya ialah pencabar dari China dan juga Indonesia yang memiliki pengalaman lebih baik daripadanya.
“Saya juga kalau boleh hendak cuba walaupun sekali menewaskan pemain China yang pada anggapan saya memiliki semangat juang yang cukup tinggi dan sentiasa yakin untuk melakar kemenangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan terakhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sebelum terbang ke India, Jumaat lalu.
Menurut Razeeq, jika hendak diukur dari segi skil atau kelebihan fizikal, dia berasakan dirinya tidak ada jurang yang besar berbanding wakil China.
“Kalau cakap pasal skil, lebih kurang sama dengan saya, cuma mereka punya mental dan jenis yang tidak mudah mengalah itu yang saya kena belajar lagi,” katanya.
Razeeq yang merupakan juara perseorangan pada kejohanan peringkat kebangsaan bawah 18 tahun di Kedah, tahun lepas, menyasarkan untuk menembusi skuad senior sebaik kejohanan dunia berakhir nanti.
“Lagipun ini penampilan terakhir saya pada kejohanan di peringkat remaja, selepas ini saya bakal memasuki peringkat senior dan berharap dapat bersaing dengan pemain-pemain senior yang lain,” katanya.
Pemain yang memiliki ketinggian 185 sentimeter itu juga menyimpan impian mahu menjadi sehebat bintang No. 1 dunia, An Se Young dari Korea Selatan yang dijadikan sebagai model peranan untuknya mendaki tangga kejayaan.
“Saya amat mengagumi Se Young, dia bergelar juara dunia dalam usia muda dan dia seorang pemain yang mampu mempamerkan persembahan yang baik walaupun berada di dalam kesakitan akibat kecederaan, itu yang saya kagum, harap dapat semangat macam dia,” katanya.
Kata Razeeq, dia kini meletakkan sasaran kepada dirinya sendiri untuk bergelar pemain perseorangan utama Malaysia dalam tempoh tiga atau empat tahun lagi.
“Sejak menyertai latihan di ABM, saya memanfaatkan kesempatan berkomunikasi dengan jurulatih bagi mendapatkan bimbingan sebaik mungkin dan menjadi rakan sepelatih kepada pemain senior seperti Leong Jun Hao dan Justin Hoh,” katanya.-UTUSAN