KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan sekolah di seluruh negara masih lagi berada dalam keadaan selamat untuk anak-anak meskipun terdapat laporan kes buli serta keganasan fizikal dan seksual yang mendapat perhatian umum sejak kebelakangan ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kes sedemikian masih lagi kecil berbanding jumlah institusi pendidikan itu termasuk bilangan pelajar dan guru.
Namun katanya PDRM sendiri sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan di sekolah selamat dan terjamin untuk semua pihak.
“Jika dilihat secara keseluruhan, sekolah di negara ini masih lagi selamat. Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru.
“Malah PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan keselamatan (di sekolah) terjamin. Namun kita tidak menolak kemungkinan pendedahan di media sosial boleh mempengaruhi tindakan individu atau pelajar tertentu,” katanya dalam sidang akbar selepas melancarkan Program Kempen Anti Buli di sini hari ini.
Mohd. Khalid turut menasihatkan ibu bapa memainkan lebih peranan dalam memantau pergerakan anak-anak di luar sekolah.
“Ia termasuklah kawalan dalam penggunaan teknologi dan media sosial supaya mereka ini tidak terpengaruh dengan unsur negatif,” jelasnya.
Ditanya mengenai keengganan pentadbir sekolah termasuk guru enggan melaporkan kes jenayah yang berlaku di sekolah kepada polis, Mohd. Khalid berkata, keadaan itu sepatutnya tidak berlaku.
“Apa-apa kejadian yang membabitkan keselamatan pelajar perlu dilaporkan segera dan jangan cuba menyembunyikan fakta atau kejadian, sebaliknya berkongsi maklumat agar masalah ini dapat diselesaikan di peringkat awal lagi.
“Ini adalah untuk memastikan, ibu bapa juga mengetahui perkara sebenar yang berlaku di sekolah anak mereka,” jelasnya.
Katanya, PDRM juga memandang serius terhadap tindakan pentadbir sekolah dan guru cuba menyelesaikan masalah membabitkan keselamatan pelajar tanpa campur tangan daripada pihak berkuasa.
Beliau turut bersetuju dengan cadangan Mohd. Azam yang meminta pegawai polis membawa ‘patrol car’ bagi menjalankan sesi rondaan berkala pada waktu malam di sekolah berasrama.
“Perkara ini akan diperluaskan dan saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negeri dan Daerah untuk meneruskan tindakan supaya memastikan keselamatan anak-anak yang berada di asrama ini terjamin.
“Tindakan rondaan bersama ‘patrol car’ ini juga akan menimbulkan rasa selamat dalam kalangan pelajar di situ,” katanya. – UTUSAN










