Ridwan bawa semangat Shah Firdaus ke Sukan SEA

Ridwan bawa semangat Shah Firdaus ke Sukan SEA

MUHAMMAD Shah Firdaus Sahrom (kiri) bersama ketua jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri (tengah) dan Muhammad Ridwan Sahrom. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom berikrar mahu membawa pulang pingat emas di Sukan SEA 2025 untuk dihadiahkan kepada abangnya, Muhammad Shah Firdaus.

Shah Firdaus disahkan tidak dapat menyertai temasya dwitahunan itu akibat kecederaan lutut, sekali gus membuka ruang buat Ridwan memikul tanggungjawab besar sebagai sandaran utama skuad negara.

“Sudah tentu saya sedih dan terkilan. Perancangan awal adalah untuk kami berdua bersama dalam acara keirin, tetapi takdir menentukan sebaliknya.

“Walau apa pun yang terjadi, saya akan bawa semangat dia (Shah Firdaus) bersama saya. Saya akan berlumba untuknya. Ini janji saya,” kata Ridwan kepada pemberita ketika ditemui di Velodrom Nasional, Nilai kelmarin.

Pelumba muda itu menganggap setiap tunjuk ajar dan ilmu taktikal daripada Shah Firdaus akan menjadi senjata utama dalam misi memburu emas.

Katanya, Shah Firdaus tidak pernah berhenti memberi nasihat walaupun sedang menanggung kesakitan dan dia mahu membalas pengorbanan itu dengan keputusan terbaik di Thailand nanti.

“Dia banyak turunkan ilmu, ajar saya tentang taktikal walaupun dalam keadaan dia sedang sakit. Saya akan bawa semangatnya dan apa yang diajar untuk berlumba di Sukan SEA nanti.

“Saya akan berikan komitmen sepenuhnya untuk negara dan saya bertekad sekurang-kurangnya menghadiahkan satu pingat emas,” katanya.

Ridwan dijangka bergandingan bersama Muhammad Fadhil Zonis atau Mohd. Akmal Nazimi Jusena dalam acara keirin yang bakal menjadi tumpuan.

Namun, misi tersebut bukan mudah apabila dia perlu menyaingi pelumba tuan rumah, Jai Angsuthasawit yang kini berada pada prestasi terbaik selepas menjuarai keirin Piala Trek Asia di Suphanburi, Ogos lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN