Rehda bimbang kenaikan duti setem halang kemasukan pelabur asing

Rehda bimbang kenaikan duti setem halang kemasukan pelabur asing

HO HON SANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyuarakan kebimbangan kenaikan duti setem bagi pemilikan rumah kediaman oleh warga asing, daripada empat peratus kepada lapan peratus.

Presiden Rehda, Datuk Ho Hon Sang berkata, langkah itu bertentangan dengan aspirasi kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing, dan mungkin menjadi penghalang kepada pelabur asing untuk menubuhkan operasi mereka di negara ini.

“Kami turut menantikan penjelasan lanjut mengenai pengecualian cukai bagi pengubahsuaian dan penukaran bangunan komersial kepada kediaman, kerana langkah ini akan meringankan tekanan kewangan yang besar kepada pemaju yang menjalankan projek sedemikian.

“Bagi pihak industri, kami berharap peruntukan sebanyak RM470 bilion di bawah Belanjawan Madani Keempat ini akan memberi impak positif kepada ekonomi negara termasuk sektor perumahan dan hartanah.

“Rehda akan terus menggalakkan ahli-ahli kami untuk meneruskan peranan membina negara dengan menyediakan rumah yang berkualiti dan mampu milik untuk rakyat secara berkesan dan mampan,” katanya dalam kenyataan. 

Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2026 mengumumkan cadangan duti setem pada kadar rata antara empat hingga lapan peratus dikenakan ke atas surat cara pindah milik rumah kediaman yang dimiliki oleh individu bukan warganegara dan syarikat asing, kecuali bagi individu berstatus pemastautin tetap di Malaysia.

Kerajaan turut menggalakkan institusi kewangan memperluas sokongan terhadap pelaksanaan skim sewa beli rumah dan skim bina-kemudian-jual bagi meningkatkan kemampuan rakyat memiliki kediaman, selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)

Hon Sang berkata, pihaknya turut memuji inisiatif berterusan yang diberikan kepada pembeli rumah pertama, seperti pengecualian duti setem bagi pemindahan hak milik dan perjanjian pinjaman untuk rumah berharga sehingga RM500,000 yang telah memberi manfaat kepada ramai pembeli, dan kini dilanjutkan selama dua tahun lagi sehingga Disember 2027. 

Jelasnya, pengembangan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) kepada RM20 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 80,000 pemilik rumah akan datang juga dijangka terus merancakkan pasaran perumahan.

“Kami turut mengambil maklum mengenai lanjutan Skim Pembiayaan Perumahan Belia di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) serta peningkatan had pembiayaan sehingga RM1 juta. 

“Inisiatif ini akan memudahkan pembelian rumah kedua, terutama bagi mereka yang ingin menaik taraf ke rumah yang lebih baik selaras dengan keperluan semasa mereka,” katanya.  

Beliau berharap, seruan Perdana Menteri agar institusi kewangan menyokong pelaksanaan skim sewa untuk milik (rent-to-own) akan membuahkan hasil yang positif dalam membantu lebih ramai rakyat memiliki rumah.

Ini terutamanya, melibatkan golongan berpendapatan sederhana yang tidak layak untuk membeli rumah mampu milik tetapi pada masa sama, tidak mampu membeli rumah dengan harga yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN