JASIN: Melaka muncul sebagai negeri perintis dalam memperkasa budaya pentadbiran moden apabila berjaya membuktikan keupayaan mengubah cara kerja kerajaan menjadi lebih pantas, mudah dan efisien menerusi pelaksanaan Projek Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, RKB memberi impak besar bukan sahaja daripada sudut kecekapan, malah menjana penjimatan kos operasi kerajaan sebanyak RM13.5 juta setahun serta mempercepatkan proses kelulusan urusan kerajaan sehingga 75 peratus lebih pantas.
Menurutnya, empat projek utama RKB yang dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi termasuk pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT), menunjukkan keberkesanan pendekatan baharu yang berteraskan teknologi dan semakan serentak.
“Capaian RKB ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuh budaya kerja sektor awam yang cekap, telus dan berimpak tinggi.
“Apabila urusan rakyat dan perniagaan dipermudah, ia bukan sahaja mempercepat proses kelulusan, malah menjimatkan kos kerajaan serta meningkatkan produktiviti negara, ” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek RKB bersempena Program Madani Rakyat (PMR) 2025 Melaka yang berlangsung di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka diumumkan sebagai agensi paling cemerlang apabila berjaya mengurangkan tempoh urusan pengambilan tanah dari 36 bulan kepada hanya enam bulan melalui semakan teknikal bersepadu dan serentak.
Turut menerima pengiktirafan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menerusi kelulusan caj pembersihan acara dipercepat daripada 30 hari kepada tiga hari manakala Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerusi pemprosesan pelan dipendekkan dari 10 hari kepada empat jam.
Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) pula menerusi pembaharuan lesen perniagaan dipermudah dari satu hari kepada serta-merta. – UTUSAN










