TANJUNG MALIM: Polis telah merakam percakapan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang pendaki, Allahyarham Mustaqqeem Mansoor yang ditemukan meninggal dunia di Gunung Liang pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad memaklumkan, kesemua individu itu merangkumi peserta dan rakan pendaki si mati yang menyertai misi pendakian.
“Baki tiga lagi pendaki yang turut serta dalam ekspedisi akan dipanggil kemudian bagi melengkapkan siasatan.
“Mereka dikesan pulang terus selepas tiba di kaki gunung disebabkan urusan kerja dan cuti,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, polis mengesahkan kematian Allahyarham Mustaqqeem disebabkan hipotermia atau kesejukan melampau hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Slim River.
Allahyarham ditemukan meninggal dunia pada pukul 3.30 petang Khamis lalu di puncak Gunung Liang dan jenazahnya dibawa keluar daripada gunung berketinggian 1,933 meter itu menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba keesokannya.
Katanya, penganjur aktiviti pendakian itu juga telah dikenal pasti dan akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.
“Setakat ini, siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut (SDR),” katanya. – UTUSAN