KUALA NERUS: Peruntukan sebanyak lebih RM580 juta bagi sektor sukan dalam Belanjawan 2026 dilihat antara usaha memperkukuh ekosistem sukan negara termasuk kemudahan, program pembangunan atlet dan projek naik taraf infrastruktur di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, peningkatan itu bukan sahaja melibatkan kementeriannya malah merangkumi agensi-agensi di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Katanya, pertambahan peruntukan itu turut membuktikan komitmen kerajaan untuk terus memangkin pelaksanaan program pembangunan atlet negara seperti Road To Gold (RTG) serta memperkukuh fasiliti sukan di seluruh negara.
“Secara keseluruhan, bajet pembangunan sukan menunjukkan peningkatan sebanyak RM380 juta. Ini membantu melaksanakan pelbagai program termasuk pembangunan atlet dan mendayaupayakan mereka melalui inisiatif sedia ada,” katanya selepas merasmikan sambutan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan bidang sukan sebagai antara agenda penting pembangunan belia dan masyarakat.
Katanya, bagi negeri Terengganu pula, stadium hoki bakal dinaik taraf di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) sebagai sebahagian daripada pelan memperkukuh fasiliti sukan negeri.
“Ini inisiatif penting kerajaan untuk memastikan ekosistem sukan terus berkembang bukan hanya dari segi atlet tetapi juga kemudahan dan budaya bersukan dalam kalangan rakyat,” katanya.
Katanya, walaupun kerajaan memainkan peranan utama melalui peruntukan besar itu, kejayaan pembangunan sukan tetap bergantung kepada penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk badan korporat dan masyarakat. – UTUSAN